Alhamdulillah, pada masa kini kita dapat lihat kefahaman dan pengamalan masyarakat Malaysia umumnya sudah semakin baik dan meningkat berbanding di awal-awal zaman 70-an dahulu. Yang saya maksudkan ialah dari segi pemakaian dan penjagaan aurat bagi wanita.
Kalau dahulu, wanita Melayu Islam juga memakai tudung sepertimana kita hari ini. Tapi dapat kita lihat berkemungkinan besar disebabkan pendedahan dan pengamalan yang tidak meluas ketika itu, menyebabkan konsep menutup aurat pada ketika itu adalah kurang sempurna dan tidak menepati syarak.
Bertudung tetapi dengan rambut di hadapan, dada terdedah, berbaju kebaya ketat dan sebagainya.
Hari ini, syukur ke hadrat Illahi kerana dengan rahmat dan hidayah Allah swt konsep menutup aurat yang kita amalkan di Malaysia kini sudah semakin sempurna. Sudah ramai yang berjubah, bertudung labuh dan mengenakan tudung yang menutup dagu.
Soalan yang menarik untuk dikongsikan ialah adakah dagu itu juga dikira aurat?
Adakah ia wajib ditutup ataupun harus?
Adakah dikira berdosa jika kita tidak menutupnya?
Kesimpulan mudah yang boleh kita ambil adalah seperti berikut. Saya kongsikan artikel ini bersumberkan daripada slot tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Azhar Idrus untuk sahabat semua ya. Semoga bermanfaat untuk para muslimah. ^_^

1) Pendapat pertama :
Iaitu dari Mazhab Imam Syafie mengatakan bahagian di bawah daripada dagu adalah aurat. Makanya, apabila memakai tudung ataupun dalam keadaan hendak bersolat, hendaklah ia melebihkan dan menutup kawasan sekitar di bawah dagu.
2) Pendapat kedua:
Ada pendapat yang mengatakan kawasan di bawah dagu adalah aurat yang dimaafkan. Walaubagaimanapun ia adalah pendapat yang lemah. Apabila disebut tentang pendapat yang lemah, maknanya ada khilaf para ulamak pada perkara tadi. Bila ada khilaf, maksudnya tidak boleh kita terus-terus mengatakan ia haram atau wajib ditutup, berbeza dengan aurat rambut yang tidak ada khilaf padanya.
Kesimpulan:
Sebaik-baiknya dengan mengambil kaedah keluar daripada khilaf, maka sebaiknya bertudunglah dengan menutup bahagian bawah dagu sehingga ke hujung dagu.
Wallahua'alam..

